banner

Monday, September 03, 2012

Peter Butler mahu ujian pembohongan!



“MARI kita lakukan ujian poligraf (pengesan pembohongan)!” Itu saranan jurulatih Terengganu, Peter Butler kepada pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan pemain tengah, Ismail Faruqi Asha’ri untuk menentukan siapakah yang bercakap benar.
Jemu dengan penafian berterusan kedua-dua pemain yang sudah digugurkan dari skuad Penyu, jurulatih berusia 46 tahun itu yakin, ujian poligraf mampu membuktikan sama ada pemain terbabit bercakap benar apabila berkata tidak ada wanita bersama mereka di hotel penginapan pada awal pagi hari perlawanan menentang Kedah di Alor Setar, minggu lalu.

Jurulatih bangsa Inggeris itu berkata, beliau sanggup membiayai segala perbelanjaan untuk kedua-dua pemain itu menjalani ujian pengesanan pembohongan di tempat yang mereka pilih sama ada dalam atau luar negara.

“Saya sanggup bayar harga tiket kapal terbang, penginapan dan bayaran ujian walaupun mereka pilih untuk melakukannya di luar negara kerana yang penting ialah mencari kebenaran.

“Saya juga sanggup menjalani ujian poligraf bersama mereka kerana saya tahu itu saja yang dapat memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Menurut Butler, usul menonton rakaman kamera litar tertutup mungkin menemui jalan buntu kerana pihak hotel cuma boleh menunjukkan pita rakaman kepada pihak berkuasa saja.


“Mungkin jika ada pihak yang membuat laporan polis, pita rakaman itu dapat diteliti pihak berkuasa tapi buat masa ini, tiada laporan polis dibuat.

“Pilihan yang ada sekarang ialah ujian poligraf dan sekiranya kos ujian itu saya yang tanggung, tidak ada sebab kedua-dua pemain itu menolak pelawaan ini,” katanya.

Menurutnya bekas jurulatih Kelantan itu, ujian itu sebenarnya lebih penting kepada kedua-dua pemain berbanding dirinya kerana tindakan menggugurkan mereka daripada pasukan bukan kerana mereka berfoya-foya dengan wanita.

“Mereka mengaku pulang lewat ke hotel sedangkan masa ditetapkan untuk pemain tidur pada malam sebelum perlawanan adalah jam 10.30.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini saya tidak kisah kelakuan mereka dengan wanita cuma tidak mahu mereka melakukannya pada masa tidur dan agak keterlaluan pulang ke hotel jam 3 pagi,” katanya.

Katanya, beliau ada mendengar sebelum ini yang Ismail dan Muslim, memintanya memohon maaf dan ada juga laporan mengenai mereka mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Saya mempunyai cukup bukti daripada keterangan ramai termasuk dua rakan sepasukan namun saya sanggup memberi peluang kepada mereka menjalani ujian poligraf sekiranya tidak ada apa yang disembunyikan,” katanya.

Menurutnya, keputusan mengeluarkan Muslim, Ismail dan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, daripada pasukan dibuat selepas memberi pertimbangan sewajarnya.

“Sharbinee tahu apa yang dibuatnya ketika menepis bola ke dalam gol sendiri dalam pertemuan menentang Kedah (di halaman sendiri, Sabtu lalu) dan dia juga tahu tidak akan menjadi penjaga gol lagi selagi saya melatih pasukan.

“Namun, saya senang hati kerana pemain dan peminat, termasuk Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) menyokong tindakan saya kerana apa yang saya lakukan untuk kebaikan dan kemajuan bola sepak Terengganu,” katanya.

source from MyMetro


No comments:

Post a Comment